Assalammualaikum dan salam sejahtera....
Alhamdulilah .... di sini saya ingin berkongsikan @ viral kan tip murah rezeki dengan solat DHUHA... bersama anda semua....
Tip Murah Rezeki Dengan Solat Dhuha
Dalam dunia serba moden ini kita tidak terlepas daripada
hidup bermasyarakat. Setiap saat dan ketika kita akan berjumpa dengan rakan
mahupun kenalan baru. Penulis ingin berkongsi cebisan cabang ilmu yang berlaku
di sekeliling kita sama ada kita sedar mahupun tidak.
Ilmu perniagaan telah lama wujud sejak zaman Nabi Adam
sehinggalah zaman keemasan pemerintah Islam yang menggariskan tentang halal
haram sesuatu perniagaan di dalam khazanah ilmu yang terdapat di dalam
kitab-kitab semasa zaman Abbasiah.
Hatta jika di sorot dengan tinta emas sejarah Islam
sekalipun kebanyakan nabi-nabi, para sahabat, ulama muktabar menjadikan berniaga
sebagai salah satu cara hidup yang mana bukan sahaja untuk mendapat keuntungan
semata-mata akan tetapi sebagai cara untuk belajar cara memperoleh rezeki yang
halal tanpa kita meminta sedekah atau melakukan jenayah seperti mencuri,
merompak atau sebagainya.
Pada zaman milenium atau zaman gajet canggih ini kita telah
hilang ‘aura’ untuk berniaga hanya kerana kita sering dimomokkan yang berniaga
ini hanya untuk mereka yang terdesak untuk dapatkan kewangan atau sesuai untuk
mereka yang sudah pencen kerja kerajaan bagi memenuhi masa terluang yang ada.
Pemikiran seperti ini menjadi virus minda yang perlu dijauhi kerana kadang kala
ia boleh merosakkan minat atau usaha untuk berdikari.
Marilah kita belajar cara orang Cina berniaga, mungkin ada
yang tidak setuju dengan apa yang penulis syorkan namun sebagai manusia yang
berakal, tiada istilah malu untuk belajar sesuatu perkara yang baru. Semangat
yang ada pada orang Cina harus kita contohi kerana di situ terdapat perkara
yang dapat kita sematkan dalam diri kita. Di sini suka penulis gariskan
beberapa poin kecil sebagai pencerah minda untuk pembaca yang budiman.
1) Persepsi Terhadap Perniagaan
Ini merupakan kunci utama yang harus kita ketahui dan
persoalan yang harus difikirkan. Fikirkan tujuan kita menceburkan diri dalam
perniagaan, apa matlamat utama yang harus dikejar dalam berniaga, adakah
berniaga ini memberi jaminan hidup kepada masa depan kita? Paling utama ialah
daya tahan kita dalam persaingan perniagaan yang memerlukan kreativiti,
semangat bekerjasama serta tidak tamak atas laba di depan mata.
Dalam hal sedemikian, penulis melihat orang Cina ada sikap
yang disebutkan. Mereka melihat objektif utama setiap perniagaan yang diceburi.
Mereka menjadikan sektor perniagaan sebagai pekerjaan utama dan mereka telah
mendidik anak-anak mereka tentang ilmu berniaga walaupun di bangku sekolah
lagi. Tidak hairanlah sekiranya masyarakat kita khususnya yang beragama Islam
‘layu’ apabila melihat orang Cina menguasai perniagaan hanya kerana kita takut
untuk bersaing secara sihat. Stigma ini yang harus diubah.
2) Kekuatan Usaha
Usaha yang berterusan, tidak mudah putus asa, belajar
daripada kesilapan. Tiga elemen ini merupakan ubat yang perlu ada bagi setiap
individu mahupun masyarakat dalam berniaga. Penulis ada satu kisah yang ingin
dikongsi ketika penulis belajar di Timur Tengah, negara yang mendapat jolokan
kiblat ilmu iaitu negara Mesir.
Bagaimana usaha dan sikap ingin memajukan perniagaan
terdapat dalam diri pelajar-pelajar dari negara China yang belajar di sana,
mereka mengetepikan sikap malu dan mereka menebalkan muka di tengah-tengah kota
Kaherah.
Dihimpit dengan masyarakat Arab yang pelbagai warna-warni
kehidupan, pelajar-pelajar dari China ini menjual kad isi semula prabayar dan
telefon bimbit. Lihatlah bagaimana mereka menembus ekonomi negara yang asing
bagi mereka dari sudut bahasa, budaya, akidah, mahu pun sosioekonomi.
Mereka ‘berhijrah’ dari negara Tembok Besar China ke negara
piramid Giza, kedua-duanya termasuk dalam 7 keajaiban dunia. Lihat kepada usaha
dan kecekalan orang Cina dalam memajukan usaha untuk berniaga tidak kira walau
di mana mereka berada.
3) Berani Keluar Dari Zon Selesa
Setiap penat lelah kita, pengorbanan masa, pengorbanan wang
ringgit akan lebih berbaloi andai segala usaha kita menghasilkan kejayaan dan
secara tak langsung memberi kepuasan pada diri kita sendiri. Ini merupakan
hadiah buat diri kita setelah 24 jam menghabiskan masa untuk memajukan
perniagaan.
Apa yang dapat penulis perhatikan ialah sikap berpuas hati
atau bahasa lunaknya zon selesa boleh jadi madu buat kita atau sebaliknya. Ini
kerana setiap hari aliran modal atau tunai mengalir, permintaan dan penawaran
barang boleh jadi naik atau sebaliknya dan yang utama–membayar hutang pinjaman
perniagaan.
Dalam hal ini masyarakat cina ada menubuhkan dewan
perniagaan mereka sendiri, mereka ada sistem jaringan perniagaan yang rapat,
mereka ada sikap ingin membantu bangsa mereka sendiri tanpa prejudis politik,
taraf keturunan, bagaimanakah hal ini terjadi? Ini kerana mereka tidak ada
sikap PHD (perasaan hasad dengki) kerana mereka jelas dan tahu bahawa matlamat
dan tujuan berniaga, oleh itu mereka saling membantu sesama bangsa mereka.
4) Rezeki Itu Ada
Perkataan rezeki berasal daripada bahasa Arab yang mana ada
disebut dalam nama-nama Allah (Asmaul Husna). Di sinilah terdapat keadilan
Allah dalam membahagikan rezeki kepada hamba-Nya di muka bumi, sesiapa yang
berusaha dia akan dapat habuannya.
Kita jangan marah sekiranya kita tidak berjaya dalam
perniagaan. Kita jangan kecewa andai usaha kita gagal dalam perniagaan. Ini
kerana kebanyakan mereka yang telah berjaya dalam perniagaan ialah mereka yang
pernah gagal dalam perniagaan, yang pernah ditipu dalam berniaga.
Terima ia sebagai ramuan untuk kita menghadamkan segala
‘rencah’ untuk kita bersedia dalam selok-belok perniagaan. Ini adat dunia
perniagaan yang perlu dihadapi tanpa mengira status, bangsa dan latar belakang
peniaga.
Daripada apa yang penulis huraikan serba ringkas tentang
hubung kait solat sunat Dhuha dengan perniagaan Cina, kita sebagai orang Islam
patut berbangga kerana kita ada kunci ilmu tentang berniaga yang disampaikan
oleh Rasulullah s.a.w 1434 hijrah yang lepas.
Waktu Dhuha Berniaga
Dalam amalan sunat yang kita kerjakan setiap hari, kita
mungkin terlepas pandang tentang amalan solat sunat Dhuha yang mana menjadi
sunnah Rasulullah s.a.w. Amalan ini merupakan ‘modul’ wajib bagi setiap ahli
perniagaan atau usahawan supaya rajin sujud kepada pencipta sekalian alam agar
kita rajin untuk berdoa meminta kepada Allah SWT.
Mengapa hal ini patut menjadi ‘modul’? Tidak cukupkah dengan
kursus yang dianjurkan oleh agensi kerajaan, agensi swasta, nasihat pakar
ekonomi, kawan-kawan sekeliling?
Semua yang disebutkan itu lebih daripada mencukupi cuma
tidak cukup ‘garam’ untuk melazatkan makanan yang ada. Begitulah fungsi solat
sunat Dhuha-ia sebagai garam untuk memasinkan makanan setelah cukup bahan
masakan seperti kursus berniaga, nasihat dan sebagainya. Itulah keajaiban yang
ada dalam hukum syarak sesungguhnya Dia tahu apa yang terbaik untuk hamba-Nya.
Tip Mahal Tersedia Percuma
Tidak lupa juga tentang kelebihan surah Al-Waqiah. Surah
yang mengandungi 96 ayat dan diturunkan di Mekah. Sehingga surah ini menjadi
wasiat kepada anak-anak Sayidina ibnu Mas’ud ketika beliau hampir meninggal
dunia supaya membaca surah ini.
Inilah khazanah ilmu yang harus digali dan dikaji mengapa
hukum syarak menyuruh kita melaksanakan amalan sunat yang dua ini. Kedua-dua
amalan ini tersedia dalam kitab panduan Al-Quran. Tidak perlu bayaran untuk
mendapatkannya.
Kelebihan Amalan Solat Sunat Dhuha dan Surah Al-Waqiah:
- Dimurahkan rezeki
- Tidak akan miskin selamanya
- Diampunkan dosa biarpun banyak seperti buih di lautan
- Di akhirat kelak akan diseru oleh malaikat untuk mereka yang solat Dhuha
- Di khususkan untuk mereka sebuah pintu yang bernama ‘Dhuha’ (Maksud hadis Rasullah s.a.w – Riwayat At-Tabrani)
- Impak Luar Biasa
- Apa yang penulis dapat simpulkan ialah ilmu perniagaan ini merupakan cabang rezeki yang menjadi sunnah Nabi. Lihatlah kisah Rasullah s.a.w yang berniaga di bumi Syam dengan menjual barang niaga Saiditina Khatijah yang membawa kepada keuntungan yang berlipat ganda.
Lihat bagaimana dengan mengamalkan sunah-sunah perniagaan
gaya Rasulullah s.a.w dan meletakkan sepenuh tawakal kepada Allah SWT, impak
luar biasa ‘hinggap’ pada perniagaan yang di usahakan, insya’Allah.
Jadikan perniagaan sebagai satu cabang rezeki, kerana 9/10
rezeki itu datang daripada perniagaan. Elak meletakkan andaian bahawa berniaga
ini untuk kaum tertentu, untuk golongan bijak pandai, untuk memenuhi keperluan
pasaran semata-mata. Jadi seorang individu yang bermatlamat supaya kita tidak rugi
pada masa hadapan.
Hikmah itu ialah barang yang tercicir, barang siapa yang
mendapat akan ia maka akan menjadi hak atau kepunyaan dia (orang Islam).
Sumber majalahniaga.com
semoga ia memberikan manfaat buat anda semua....
Sekian
terima kasih
Tiada ulasan:
Catat Ulasan